MARI MENGIKUT

Me and you :)

gravatar

hikayat hati siri 1

Ema menyeka peluh yang meluncur laju melewati sisi pipi mulusnya. Bahang kotaraya seakan membunuh jiwa riang Ema yang beraja di hati sedari pagi lagi. Dari ekor mata dia melihat pemuda itu. Hitam manis orangnya. Berjiwa lembut di sebalik petak wajah tegasnya.

"Jai, panaslah. Awak tak rimas?"

Ema bersuara seraya membetulkan tudung. Panas. Lenguh. Kakinya mula mengatur gerakan-gerakan kecil di tempat dia berdiri. Sekadar melegakan sendi lutut. Azrai memandangnya sambil tersenyum. Terhibur hatinya melihat keletah kekasih hati yang manja. Iya, Ema sememangnya seorang gadis yang manja. Suaranya lembut, gerak alur lentur tubuhnya sopan dan menenangkan jiwa.

"Sabarlah sayang. Ema juga yang nak merasa naik KTM. Sekarang kenalah kita tunggu KTM sampai. Mahu Jai pegangkan handbag?"

Ema tersenyum simpul. Manis. Sejuk sedikit hatinya mendengar pujukan Azrai yang sememangnya ditunggu-tunggu sejak mula mereka berdiri menunggu ketibaan KTM. Salahnya juga kerana berkeras mahu menaiki kenderaan awam. Bersungguh-sungguh dia memujuk Azrai supaya menemaninya menaiki KTM semata-mata mahu mengaut pengalaman baru. Anak dara ayahlah katakan, hidup berkereta ke mana jua. Tiba-tiba sahaja selautan manusia yang turut sama menanti ketibaan KTM meluru ke garisan kuning. Ema dan Azrai turut tidak ketinggalan. Sebaik melangkah masuk bersama tubuh-tubuh manusia yang turut sama mengejar masa, mereka berbalas senyuman.

"Terima kasih Jai. Ema sayang Jai. Tahu? "

"Iya sayang. Selepas tiga hentian, kita turun. Jaga handbag ya sayang. Apa-apa hilang nanti, susah kita."

"Emm. Jai.."

"Ya sayang. Ema penat?"

"Tak penat Jai, cuma lenguh kaki sikit. Ema runsinglah memikirkan kata-kata papa."

"Sabar ya sayang. Jai tahu apa yang Ema fikirkan. Jai faham apa yang Ema risaukan. Sayang, Jai faham kenapa papa Ema tidak bersetuju untuk kita melangsungkan perkahwinan sekarang. Semuanya demi kebaikan Ema. Kesihatan Ema adalah segala-galanya buat masa sekarang."

Ema mengangguk lemah. Tubuh-tubuh manusia yang menghimpitnya tidak langsung dirasakan mengganggu benak fikirannya pada waktu itu. Azrai juga begitu. Bingit gerakan KTM seumpama bunyian kosong yang lalu lepas di telinga. Dunianya pada saat itu hanyalah Ema. Buah akalnya pada saat itu hanyalah ingin mengurangkan penderitaan Ema.

***

"Ema, Jai rindu.."

Azrai merenung skrin telefon bimbitnya. Jemarinya pantas membuka peti simpanan mesej. Mesej-mesej pemberian Ema dibaca satu persatu. Pedihnya menanggung rindu.


bersambung...

~The good life is inspired by love and guided by knowledge.~

Blog Widget by LinkWithin